250409 - "C.Ronaldo lembik" - Bolt


USAIN Bolt, pemenang berganda pingat emas 100 dan 200 meter Sukan Olimpik, menyifatkan bintang Manchester United, Cristiano Ronaldo sebagai seorang pemain yang lembik.


Pelari Jamaica itu menegaskan Ronaldo sepatutnya mencontohi rakan sepasukannya Wayne Rooney jika mahu mencapai kegemilangan.

Dia turut mengkritik kecenderungan pemain antarabangsa Portugal itu yang suka menjatuhkan diri di atas padang dan menyifatkan masalah itu timbul berikutan teknik lariannya yang tidak betul.

Bolt yang meraih reputasi sebagai orang terpantas di muka bumi selepas memenangi acara 100 dan 200 meter Olimpik dengan catatan masa rekod baru dunia di Beijing Ogos tahun lalu, akan berkunjung ke Manchester bulan depan dan sedia menawarkan beberapa petua berlari dengan cara yang betul.

Menurutnya, dia sanggup menasihatkan Ronaldo.

“Perkara pertama yang akan saya beritahunya adalah: 'Berhenti daripada menjadi seorang yang lembik',” katanya.

“Serius, kerana hakikatnya permainan Ronaldo kini agak merudum kerana pemain lawan mudah mengatasinya disebabkan dia terlalu lembik.

“Tiada siapa dalam bola sepak mencuba seperti yang dilakukan Rooney.

“Ronaldo harus menjadi seperti Rooney, dia perlu lebih agresif dan pemain lawan pasti tidak dapat mengatasinya lagi.

“Jika Ronaldo lebih agresif dan lawan menerima beberapa kad merah, mereka tidak akan mendekatinya lagi.”

Bolt turut berjanji untuk mengatasi kecenderungan Ronaldo menjatuhkan diri di atas padang.

“Masalah Ronaldo adalah apabila dia berlari, dia membongkokkan badan ke depan dan apabila tiba ke kemuncaknya, dia akan kehilangan imbangan badan lalu jatuh,” katanya.

“Kadangkala dia harus memperlahankan larian dan perlu memecut secara lebih menegak.

“Saya akan memberikannya beberapa petua apabila datang ke Manchester nanti bagi membantunya kembali ke tahap terbaik permainannya.”


*Dipetik dari Harian Metro

0 Responses to "250409 - "C.Ronaldo lembik" - Bolt" (Leave A Comment)