250709 - UiTM Ditutup Seminggu : H1N1


Klik utk gmbaran yg jelas.



BERIKUT ADALAH ISI KANDUNGAN PEKELILING YANG DIKELUARKAN OLEH NAIB CANSELOR UiTM (24 JULAI 2009)

Harap maklum bahawa pihak pengurusan Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah mengambil keputusan untuk meminda tarikh cuti pertengahan semester bagi sesi Julai-Nov 2009. Ini adalah satu langkah proaktif yang diambil bagi mengawal penularan wabak lnfluenza A (H1N1).

Justeru dimohon semua pihak agar mengambil perhatian atas perkara-perkara berikut :
  1. Cuti pertengahan semester Sesi Julai-November 2009 secara rasmi dipinda ke tarikh baru, iaitu bermula pada 27 Julai dan berakhir 2 Ogos 2009 (26 Julai hingga l Ogos bagi UiTM Kelantan, Terengganu dan Kedah). Tarikh baru ini adalah berkuatkuasa bagi seluruh sistem UiTM kecuali UiTM Cawangan Melaka Kampus Lendu sahaja.
  2. UiTM Cawangan Melaka Kampus Lendu adalah dikira telah mengambil cuti pertengahan semester semasa penutupan sementara kampus iaitu bermula dari 16 hingga 26 Julai 2009. Kuliah akan bermula pada 27 Julai 2009.
  3. Cuti pertengahan semester bagi UiTM Cawangan Pulau Pinang, UiTM Cawangan Perak dan UiTM Cawangan Terengganu adalah dikira berkuatkuasa secara rasmi mulai tarikh diarah tutup hingga 2 Ogos 2009 (1 Ogos bagi UiTM Cawangan Terengganu).
  4. Cuti pertengahan semester ini adalah untuk pelajar sahaja. Jika terdapat staf UiTM yang ingin bercuti mereka dikehendaki mengikut prosedur biasa. Jika mereka mempunyai tanda-tanda jangkitan H1N1 mereka dikehendaki mendapat rawatan di klinik/hospital berdekatan mengikut peraturan perkhidmatan perubatan yang berkuatkuasa.
  5. Pihak UiTM berpendirian tidak memaksa semua pelajar pulang ke rumah masing-masing. Jika terdapat pelajar yang terpaksa tinggal di dalam kampus, pihak UiTM akan menyediakan kemudahan seperti biasa.
  6. Jika selepas tamat tempoh cuti pertengahan semester, terdapat pelajar yang mempunyai tanda-tanda penyakit H1N1 mereka dinasihatkan mendapatkan rawatan di hospital atau klinik kerajaan berdekatan dengan rumah masing-masing. Mereka perlu mendapatkan surat pengesahan sihat daripada klinik berkenaan untuk dibenarkan menyambung semula kuliah bagi semester ini.
  7. Jika masih terdapat pelajar yang mempunyai tanda-tanda penyaki H1N1, pihak kampus cawangan dinasihatkan untuk mengambil tindakan yang difikirkan perlu seperti 'self-quarantine' dan penjagaan kebersihan diri.
  8. Sebagai langkah berjaga-jaga dan menghadapi sebarang kemungkinan, Unit Kesihatan di semua kampus cawangan diminta untuk beroperasi setiap hari termasuk pada hujung minggu (jika ada pelajar yang tinggal di dalam kampus) sehingga keadaan bertambah baik mengikut penilaian pihak kampus masing-masing.
  9. Semua Pengarah Kampus dan Dekan Fakulti diminta untuk memantau perkembangan dari semasa ke semasa.



*Dipetik dari MASSA

0 Responses to "250709 - UiTM Ditutup Seminggu : H1N1" (Leave A Comment)