Datuk Noh Gadut
KUALA LUMPUR: “Matlamat tidak boleh menghalalkan cara. Apabila ia haram, ia tetap tidak boleh dilakukan walaupun dengan alasan untuk kebaikan,” kata Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Noh Gadut, mengenai semakin ramai pengarah serta penerbit filem dan drama berlumba-lumba menghasilkan filem homoseksual berkisar kehidupan pondan dan lesbian.
Noh berkata, dalam Islam, hukum itu jelas menyebut setiap lelaki tidak boleh menyerupai perempuan serta sebaliknya perempuan tidak boleh menyerupai lelaki berikutan hukumnya haram serta dilaknat Allah.
Justeru katanya, setiap perbuatan, perlakuan yang menyerupai mana-mana sifat yang bertentangan dengan kejadian asal ciptaan Tuhan tidak boleh di pertonton serta ditunjukkan kepada umum.
“Jika mereka ingin menyampaikan mesej yang baik, banyak lagi cara boleh dilakukan, bukan dengan melanggar hukum Allah.
“Dalam Islam sendiri sudah jelas jika perkara itu haram, maka ia tidak boleh dilakukan dan tetap berdosa walaupun dengan alasan untuk kebaikan.
“Ini boleh kita umpamakan dengan watak Robin Hood yang mencuri untuk disedekahkan kepada orang susah sedangkan perbuatan itu memang salah dan berdosa. Jadi segala hasil yang diperoleh adalah haram,” katanya.
Menurutnya, semua pihak harus memainkan peranan mengenai perkara ini kerana jika dibiar berterusan, ia boleh menggalakkan orang ramai khususnya remaja berjiwa lembut terjerumus dalam kancah golongan pondan.
Katanya, pihak penerbit, pengarah, pelakon serta penapis filem perlu mempunyai pengetahuan agama berkaitan perkara membabitkan hukum Islam kerana jika ia tidak dibendung akan menyebabkan permasalahan sosial semakin berleluasa.
“Orang ramai terutama yang beragama Islam harus tahu serta mempunyai pegangan agama mengenai perkara ini kerana jika ia dilakukan untuk mengaut keuntungan, pendapatan yang diperoleh itu adalah haram.
“Semua pihak termasuk ibu bapa harus mencegah perkara ini kerana jika ia tidak dibendung, ia mungkin menggalakkan ramai lagi remaja terjerumus ke kancah itu,” katanya.
Harian Metro, Isnin lalu melaporkan mengenai drama ‘Donut’ karya terbaru produksi milik pelakon, pengarah serta penerbit, Sheila Rusly yang menampilkan kisah homoseksual dengan pelakon utamanya memegang watak pondan lengkap berpakaian wanita.
Drama yang bakal di tayang menerusi slot Astro Ria, menampilkan pelakon Norman Hakim, sebagai Zee menjalinkan hubungan cinta dengan seorang lagi watak utama, Shakir lakonan Fizz Fairuz.
Selain itu, drama Mabuk Estrogen yang turut menampilkan Fizz Fairuz dan Roslan Shah juga bakal menimbulkan kontroversi kerana didakwa menampilkan adegan ‘bercium’ antara dua pelakon lelaki utamanya itu.
Sumber : Harian Metro
"Owh..Duit lakon PONDAN yang haram.Jangan ad pihak yang salah faham ye?? Tp knape still ade org yang xsdar2 lg ni?? Dah xde offer lain ke?? Korang sbgai pmbaca fkir2 ar sndri.."