210409 - PASKAL KINI BERGELAR KD PANGLIMA HITAM


LUMUT: Pasukan Khas Laut (Paskal) yang merupakan unit komando Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hari ini ditauliahkan dengan gelaran KD Panglima Hitam.

Panglima TLDM, Laksamana Datuk Seri Abdul Aziz Jaafar, berkata sebagai aset strategik negara, pentauliahan itu adalah satu penghormatan dan pengikhtirafan yang tinggi.

“Sesungguhnya pentauliahan ini memberi makna yang cukup besar khususnya kepada pasukan ini dan TLDM kerana pasukan ini banyak menyumbang jasa dan bakti dalam mempertahankan kedaulatan perairan negara.

“Nama Panglima Hitam dipilih berdasarkan kepada gelaran pahlawan terdahulu yang melambangkan perilaku gagah, taat setia, tegas dan berwibawa,” katanya pada majlis penamaan dan pentauliahan Paskal di Pangkalan TLDM Lumut, di sini.

Cadangan nama Panglima Hitam adalah ilham Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Kapten Dipertua TLDM, kata Abdul Aziz.

Beliau berkata pentauliahan itu amat bertepatan dengan jasa dan pengorbanan yang disumbangkan pasukan itu dalam operasi menyelamat dan operasi cegah jenayah seperti Ops Fajar di Somalia, yang telah memperlihatkan keunggulan dan komitmen yang tidak berbelah-bahagi.

“Menjadi harapan seluruh warga TLDM agar semua peringkat pegawai dan anggota KD Panglima Hitam terus mempertingkatkan taraf profesionalisme mereka sebagai sebuah unit khas yang digeruni di persada maritim antarabangsa,” katanya.

Mengenai Ops Fajar di Teluk Aden, beliau berkata operasi itu akan ditamatkan pada 30 April ini berikutan kemelesetan ekonomi pada masa ini.

“Memandangkan tidak banyak lagi kapal dagang yang lalu di kawasan berkenaan, kita ambil keputusan untuk tamatkan operasi ini,” katanya.



*Dipetik dari Berita Harian

0 Responses to "210409 - PASKAL KINI BERGELAR KD PANGLIMA HITAM" (Leave A Comment)